Saturday, February 1, 2014

Manusia Dan Kekuatan Akal

Ikutkan manusia ini sangat lemah. Terkena jarum sudah mengaduh, terkena pisau sudah berdarah. Tapi manusia ini kuat kerana Allah SWT kurniakan akal. Akal ini lah yang sebenarnya asas kekuatan manusia.

Tidak seperti gunung batu yang kuat berdiri beribu ribu tahun. Manusia hidup hanya beberapa tahun sahaja. Tapi kerana akal, manusia mampu mengkaji tentang kitaran biologi hidup, mencari ubat, dan mencipta teknologi perubatan terkini. Tidak seperti angin taufan yang mampu menghancurkan segala jenis binaan. Tidak seperti ombak laut yang boleh menghakis pantai. Tidak seperti air yang mampu mengukir batu.

Manusia tiada berkederat. Manusia mahu menakik pokok pun kita tiada berkuku, tiada bertaring . Mahu mengangkat seguni beras pun kita sudah mengaduh. Tapi kerana akal, manusia mampu mencipta jentera jentera berkuasa tinggi, mencipta kenderaan berkuasa tinggi. Manusia mampu mencorak kan landskap muka bumi ini dengan mencipta bangunan bangunan tinggi. Manusia juga mampu bergerak pada kelajuan cahaya kerana dapat memikirkan kepakaran membina enjin-enjin jet.

Akan tetapi, manusia guna akal untuk mencipta benda benda yang untuk kepentingan sendiri sahaja. Kita guna akal untuk merobek hasil bumi tapi sikit sekali kita menggunakan akal untuk memelihara bumi. Manusia guna akal untuk mencipta teknologi-teknologi peperangan. Yang kuat menindas yang lemah. Negara kuat menjajah negara yang lemah. Sepatutnya dengan akal yang dikurniakan , yang lemah dibantu, yang mundur di ajari.

Manusia menjadi makhluk ciptaan Allah SWT yang terhebat dan terkuat kerana adanya akal . Tapi sedikit sekali akal ini digunakan untuk perkara yang bermanfaat kepada semesta alam dan sesama manusia. Allah menciptakan manusia berbagai bangsa dan keturunan kerana setiap kaum itu ada kelebihan masing-masing. Agar manusia berbakti sesama sendiri menggunakan kelebihan yang dianugerahkan.

Bersyukurlah manusia dengan akal yang dikurniakan, kesihatan semasa muda, rupa paras yang sempurna, dan rezeki yang mencukupi. Akal adalah anugerah dan juga ujian maka gunakanlah akal untuk perkara-perkara yang bermanfaat dunia dan akhirat.Dan sebaik baik manusia berakal ialah manusia yang dipandu dengan iman dan dibentengi taqwa.

Semoga umat Islam semua dirahmati dan dipeliharai oleh Allah SWT. AMIN.